Thursday, June 25, 2009

Undang-undang penjawat awam

Pertukaran Pegawai Perkhidmatan Pendidikan atau Guru

Para pendidik atau guru adalah kakitangan awam atau kerajaan di bawah Perkhidmatan Pendidikan. Oleh itu, mereka tertakluk kepada peraturan-peraturan di bawah perintah Am. Satu daripada peraturan dalam perintah Am menyebut :

"SESEORANG PEGAWAI BOLEH DIARAHKAN BERKHIDMAT DI MANA-MANA SAHAJA OLEH KERAJAAN, MELAINKAN ADA SYARAT-SYARAT KHAS YANG MENETAPKAN SEBALIKNYA"

tiap-tiap pegawai dalam perkhidmatan awam yang memegang jawatan tertakluk kepada kuasa yang ada pada Yang di-Pertuan Agong bukan sahaja daripada segi perlantikan, tetapi daripada segi tempat dan masa. Hanya daripada aspek 'pembuangan' seseorang pegawai atau 'penurunan pangkat', Fasal 135 dalam Perlembagaan Persekutuan hendaklah dipatuhi.

"TIADA SESEORANG ANGGOTA MANA-MANA PERKHIDMATAN YANG TERSEBUT DALAM PERENGGAN (b) HINGGA (h) FASAL (1) PERKARA 132 BOLEH DIBUANG KERJA ATAU DITURUNKAN PANGKAT OLEH SESUATU PIHAK BERKUASA YANG RENDAH DARIPADA PIHAK BERKUASA YANG, PADA MASA PEMBUANGAN KERJA ATAU PENURUNAN PANGKAT ITU, ADA MEMPUNYAI KUASA MELANTIK SEORANG ANGGOTA PERKHIDMATAN ITU YANG SAMA PANGKATNYA".

Oleh itu, apabila seseorang itu hendak ditukarkan dan bila dia hendak ditukarkan adalah bergantung kepada kerajaan menentukannya. Tidak perlu diadakan perbicaraan yang penuh bagi melihat dan menentukan dakwaan mala fide atau niat yang buruk atapun dakwaan 'tidak munasabah'

Sebagai seorang kakitangan dalam perkhidmatan awam, dan selama mana dia berkhidmat adalah terpulang kepada kerajaan menentukan sama ada pertukarannya itu untuk kepentingan awam ataupun tidak, kerana kerajaan mempunyai tugas yang besar untuk dipikul.